Saturday, December 17, 2011

Kisah di Dalam Padang..

Aku dan dia memulakan perlawanan ini dengan sebuah semangat dan segunung harapan untuk memenangi perlawanan ini. Aku bukanlah pemain berstatus bintang, namun kami akan cuba untuk mempertahankan pintu gawang dari dibolosi oleh pihak lawan.

Aku diberi tugas sebagai ketua pasukan, menggalas tanggungjawab yang besar untuk mengendalikan pasukan ini, memastikan agar dia sentiasa bersemangat dalam permainan, tidak berputus asa, dan memastikan permainan berada dibawah kawalan sepanjang perlawanan.
Sepanjang minit perlawanan yang telah diharungi, aku memberi arahan kepadanya agar tenang supaya dapat mengawal bola dengan baik seperti yang telah aku ajarkan sebelum ini. Tatkala bola itu dirampas oleh pihak lawan dari kakinya, aku bermati-matian mengejar kembali dan cuba memenangi bola itu kembali agar dapat diberikan semula kepadanya.

Sebagai manusia biasa, tidak aku nafikan kadang kala aku keletihan di tengah padang kerana tugasku bukan sahaja memastikan prestasi permainanku, tapi juga memastikan dia berada dalam keadaan yang baik dari segi fizikal mahupun mental. Tapi keletihan itu tidak akan sesekali mematahkan keyakinanku terhadap kemampuan pasukan ini. Selagi mampu kaki ini berdiri, selagi itu aku akan bertahan.

Acap kali aku meraung kesakitan terjatuh dek kerana diterjah pemain lawan, namun aku kuatkan hati untuk kembali bangkit dengan kekuatan sendiri. Walau kadang dia cuba menghulur tangan memberiku bantuan untuk bangun, aku menyuruhnya kekal bermain dan mempertahankan gawang sementara aku melawan kesakitan ini untuk kembali berjuang bersamanya. Apabila dia terjatuh, aku akan cuba menghulur tangan menariknya supaya kembali bangun dan meneruskan perlawanan jika keadaan membenarkan. Kadang kala aku hanya mampu berteriak dari jauh supaya dia bangkit dan kembali berjuang bersamaku kerana aku terpaksa mengawal permainan, mempertahankan gawang dari dibolosi. Hatiku berbicara "Bangunlah wahai rakanku. Maaf aku tidak mampu menghulurkan tanganku disaat kau terjatuh. Aku terpaksa mempertahankan gawang kita."

Tanggungjawab sebagai ketua pasukan bukanlah mudah. Aku perlu serius kerana terlalu banyak perkara yang perlu aku perhatikan. Mungkin raut wajahku kelihatan bengis dek kerana tertekan oleh tanggungjawab ini. "Maafkan aku andai kau tidak menyenanginya."

Sudah beberapa kali dia menyuarakan kepadaku mahu keluar dari permainan, katanya sudah keletihan, bermain denganku terlalu sukar. Dan setiap kali itulah aku tergamam, semangatku bagai hilang ditengah perlawanan. Ya, memang aku bukanlah pemain yang bagus. tetapi aku berhempas-pulas cuba melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Fahamilah bahawa ianya tidak mudah. Aku tetap cuba mengembalikan semangatnya walau semangatku sendiri bagai mati. "Tolonglah bertahan.." Aku cuba bermain dengan masa. Dia akur. Meneruskan permainan bersamaku.

Namun ternyata kali ini dia benar-benar keletihan. Tidak mahu lagi teruskan perjuangan. Dia seakan pasrah andai kami kalah. Hatiku ketika ini teramat kecewa, hanya tuhan saja yang tahu. Hampir seluruh semangatku direntap. Tiada lagi kata yang mampu keluar dari mulutku. Andai dia keluar dari permainan, maka tamatlah perlawanan ini dengan kekalahan bagi pasukan kami. Aku tabahkan hati meneruskan permainan walaupun aku tahu bahawa kemungkinan besar perlawanan akan dihentikan sebentar lagi kerana pasukanku tidak cukup pemain di atas padang. Aku cuba menafi kenyataan, dan bermain dengan masa sekali lagi. Hati kecilku berbisik, "Bersabarlah, ambillah masamu, tetaplah kau di dalam permainan, aku akan cuba melengah-lengahkan permainan pihak lawan, aku akan bermatian berjuang walau berseorangan mempertahankan gawang kita." Walau semangat ini seolah mati, dan hampir tiada harapan lagi, aku tetap mengejar bola itu. Tanpa semangat dan harapan, aku kuatkan hati untuk bersandar pada pertolongan Ilahi untuk terus berjuang.

Di waktu pasukanku terumbang-ambing bertahan, ternyata ada pasukan luar yang berminat dengan corak permainan rakan sepasukanku dan cuba melamarnya untuk menyertai mereka. Aku akui memang pasukanku ini pasukan yang kecil dan tiada apa-apa yang mampu dijanjikan kepadanya. Memang tiada keistimewaan dalam corak permainanku kerana aku terpaksa bermain dengan berhati-hati untuk memastikan kelancaran prestasi permainan sepasukan. Dan aku akui bahawa aku bukanla seorang ketua pasukan yang 'peramah' di dalam padang. Tanggungjawab di bahuku telah memadam senyuman peramah di wajahku. Andai sekarang dia mahu keluar dari pasukan ini dan pergi ke pasukan lain yang lebih baik, maka pergilah. Aku akur dengan keputusannya dan redha dengan ketentuan 'Pengurusku'. Pasukan ini akan terkubur setelah pemergiannya. Terima kasih kerana pernah sudi bermain dalam pasukanku.


No comments:

Post a Comment